Hukum Akad
Nikah Menerusi Sidang Video (Video Conference)
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011
telah membincangkan mengenai Hukum Akad Nikah Menerusi Sidang Video (Video
Conference). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang
dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa para fuqaha’ bersepakat mensyaratkan
bahawa bagi memastikan sesuatu akad nikah itu sah, ia hendaklah dilakukan dalam
satu majlis (ittihad al-majlis) supaya semuanya terlibat secara langsung semasa
pelaksanaan ijab dan qabul.
Sehubungan itu, memandangkan akad nikah menerusi sidang
video telah memenuhi syarat Ittihad al-Majlis kerana ia dikelaskan sebagai
Ittihad al-Majazi, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa adalah harus melakukan
akad nikah menerusi sidang video dengan syarat-syarat seperti yang berikut:
- Hendaklah
majlis ini berlangsung ditahap al-yakin bukan al-zhan.
- Tidak
ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.
- Cukup
semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukum syarak.
- Digalakkan
wali sendiri yang mengakad-nikahkan pasangan.
- Terdapat
halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan kerana
berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah
pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan
sebagainya.
- Tertakluk
kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam
Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.
No comments:
Post a Comment