Thursday 19 April 2012

SOLAT


PETIKAN ARTIKEL BLOG;http://www.fuadlatip.com
moga memberi manfaat.:)
"Jumaat 23/1/09 saya didatangi oleh seorang pelajar. Beliau kenali saya ketika saya memberikan penerangan tentang Membina Jiwa Positif semasa Program Pembangunan Pelajar pada awal bulan yang lalu.
Saya bertanya tujuan beliau berjumpa dengan saya. Beliau menerangkan bahawa beliau banyak melakukan solat Dhuha, solat dipertiga malam dan selalu berdoa kepada Allah. Saya ingin mendapat informasi yang lebih jelas iaitu apakah doa yang diminta?
Beliau menerangkan, beliau ingin mendapat rezeki yang banyak. Beliau ingin berjaya di dalam pelajaran. Beliau harap semua keinginan dimakbulkan. Tetapi beliau kata, kini beliau seakan-akan putus asa dengan apa yang beliau lakukan. Banyak pemintaan beliau tidak dimakbulkan.
Saya memberikan nasihat agar terus sahaja lakukan ibadah yang telah dan sedang dilakukan. Tetapi dengan syarat lakukan seikhlas hati. Beliau mengatakan beliau lakukan seikhlas hati. Tetapi saya kata, saya tak tau ikhlas atau tidak. Tetapi jika kita lakukan ibadah semata-mata kerana inginkan sesuatu daripada Allah, maka kita tidak lakukan dengan seikhlas hati.
Ibadah yang kita lakukan mestilah kerana Allah. Apa maknanya kerana Allah? Tidak ada sebab lain kerana Allah. Ia wujud disebabkan oleh perasaan CINTA dan SAYANG kita pada Allah. Walaupun kita tidak ada apa-apa permohonan, kita pasti akan lakukan solat dan sebagainya kerana perasaan CINTA dan SAYANG kita pada Allah yang tidak berbelah bahagi.
Inilah kehebatan CINTA Agung. Namun disebabkan kita manusia yang lemah, pasti ada sahaja permohonan kita pada Allah setidak-tidaknya memohon keampunan dengan segala kesalahan yang kita telah lakukan serta memohon kehidupan yang sejahtera.
Jika kita solat hanya kerana ada hajat, maka tinggallah solat kita kerana inginkan kebendaan atau sesuatu. Bukan hanya kerana Allah walaupun pada awal niatnya bersolat kerana Allah. Disebabkan kita asyik memikirkan kehendak kita, maka sebab itulah susah untuk kita mencapai kusyuk di dalam solat. Kita tidak asyik dengan Allah kerana perasaan CINTA dan SAYANG entah ke mana.
Saya juga menjelaskan kepada pelajar saya tentang betapa pentingnya perasaan CINTA dan SAYANG kepada Allah.
Rasulullah menerima wahyu mewajibkan solat bukan di awal kerasulan baginda. Ini kerana Rasulullah perlu menguatkan jiwa baginda dan sahabat dengan perasaan CINTA dan SAYANG pada Allah. Penyerahan 100% kepada Allah tanpa rasa takut gementar, tanpa rasa bimbang, tanpa rasa berharap dan sebagainya selain daripada Allah SWT.
Setelah mantapnya perasaan CINTA dan SAYANG kepada Allah, barulah Rasulullah menerima wahyu ketika Isra’ dan Mikraj mewajibkan semua umat islam bersolat 5 waktu sehari semalam.
Apabila kita melakukan kesalahan dan kita ingin berubah, kita seringkali diminta bersolat  wajib, solat sunat, baca Quran dan sebagainya.
Tetapi bagaimana kita hendak melakukan solat atau ibadah lain tanpa ada rasa CINTA dan SAYANG terlebih dahulu kepada Allah? Bagaimana kita hendak menyerahkan JIWA dan RAGA kita 100% kepada Allah jika tidak ada rasa CINTA dan SAYANG pada Allah? Bagaimana kita ingin membaca Al-Quran jika kita tidak ada rasa CINTA dan SAYANG di dalam jiwa kita?
Maka kita hanya lakukan segala ibadah kita disebabkan oleh hajat kita dan bukannya CINTA dan SAYANG pada Allah. Kerana itu ramai yang bersolat tetapi masih lagi tidak berdaya merubah hati dan jiwa kepada yang lebih baik dan tenang.
KOMUNIKASI dengan Allah mampu melahirkan rasa CINTA dan SAYANG kita pada Allah. KOMUNIKASI adalah perkara utama di dalam perhubungan baik antara makhluk dengan Pencipta atau hubungan sesama makhluk. Tanpa KOMUNIKASI maka tidak akan terjalin hubungan. Maka tidak akan wujud CINTA dan SAYANG.
Jika suami dan isteri tidak lagi berKOMUNIKASI, maka lambat laun hambarlah hubungan dan tidak mustahil akan berakhirnya hubungan yang hambar itu. Sepasang kekasih yang diputuskan KOMUNIKASI antara mereka, maka kecewa dan hancurlah jiwa dan akhirnya putuslah tali kasih sayang.
Begitulah juga kita hamba Allah. Jika terputus KOMUNIKASI kita dengan Allah, maka makin jauhlah kita dengan Allah walaupun pada hakikatnya Allah itu dekat sangat dengan kita. Kita hanya dekat dengan Allah ketika solat, ketika baca Al Quran namun di masa lain, kita jauh daripada Allah. Itu pun jika kita kusyuk bersolat dan menghayati isi Al Quran yang dibaca.
Sesungguhnya KOMUNIKASI amatlah terpenting dan PALING TERPENTING ADALAH KOMUNIKASI DENGAN ALLAH. Ia menjadikan kita sangat hampir dengan Allah. Menjadikan hati dan jiwa kita ini hanya untuk Allah.
Pelajar tersebut mulai faham dan beliau berkata kepada saya
Encik, kenapa saya tidak pernah tahu hal ini sejak dahulu. Tidak ada yang beritahu pada saya atau saya dengar tentang komunikasi dengan Allah sejak dulu. Apa yang encik beritahu ini merupakan punca sebenar kepada melahirkan CINTA dan SAYANG pada Allah. Selama ini yang saya tahu, kalau kita nak rasa CINTA dan SAYANG pada Allah kita kena solat, solat sunat, puasa, baca Al Quran dan sebagainya. kalau dengar  kuliah atau ceramah atau dalam buku, macam tulah. Tapi sebenarnya tanpa CINTA dan SAYANG bagaimana nak buat semua itu dengan kusyuk. Terima kasih banyak encik kerana beritahu saya komunikasi dengan Allah ini
Saya senyum sahaja.
Sebelum beliau meninggalkan bilik saya, beliau meminta saya menerangkan tentang konsep Qada’ dan Qadar. Setelah saya terangkan, beliau pulang dan pesan saya, “Teruslah komunikasi dengan Allah mulai saat ini“.
p/s Bukanlah maksud saya perlu komunikasi dengan Allah dahulu kemudian barulah mengerjakan ibadah. Lakukan ibadah sebagaimana ia wajib dilakukan dan sunat dilakukan. Namun  disamping itu, komunikasilah dengan Allah setiap saat kerana apabila kita berkomunikasi, dengan sendirinya kita akan rasa hampir sangat dengan Allah."

mari bersolat!^^

Thursday 29 March 2012

MINUMAN BERKARBONAT

Risiko dan bahaya minuman berkarbonat. Sekumpulan penyelidik dari Universiti Harvard menegaskan pengambilan satu gelas minuman berkarbonat setiap hari boleh memberi kesan terhadap serangan jantung.







Kajian terhadap lebih 40,000 lelaki menunjukkan keputusan yang mengejutkan di mana kandungan gula dalam minuman berkarbonat meningkatkan risiko serangan jantung sehingga 20 peratus, dan boleh menyebabkan kematian.
Ketua penyelidik berpendapat pengambilan gula yang berlebihan akan menghasilkan lemak simpanan dan sesetengah daripadanya tidak baik untuk jantung. Ujian sampel darah yang dibuat pula menunjukkan mereka yang mengambil minuman bergula berpotensi memiliki protein serta lemak yang tinggi dalam darah dan boleh dikaitkan dengan serangan jantung. Paras kadar kolestrol yang baik pula akan menjadi rendah.
Kajian tersebut juga menunjukkan semakin banyak minuman manis yang diambil seseorang, termasuk jus buah-buahan diawet yang ditambah gula, ia boleh meningkatkan risiko serangan jantung sama seperti minuman berkarbonat. Keadaan menjadi lebih buruk apabila seseorang itu mempunyai amalan yang kurang sihat seperti merokok, pengambilan alkohol dan sebagainya.
Penyelidik membuat kesimpulan tersebut selepas menganalisis maklumat yang disediakan oleh responden melalui soal jawab khas setiap dua tahun, dari tahun 1986 sehingga tahun 2008.

RAMBUT JARANG??..TIADA MASALAH..


Hukum Menanam Rambut Di Kepala

Keputusan: 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 - 22 April 2011 telah membincangkan Hukum Menanam Rambut Di Kepala. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam tidak menghalang umatnya untuk melakukan sesuatu rawatan seperti menanam rambut di kepala dengan tujuan untuk memperelokkan diri dari keaiban, selagimana tidak bertentangan dan melampaui batasan yang telah ditetapkan oleh syarak.
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa menanam rambut di kepala adalah harus dengan syarat penanaman rambut adalah dengan menggunakan rambut sendiri, menggunakan bahan-bahan yang suci dan tiada unsur najis serta tidak mendatangkan sebarang kesan mudharat.

NAK KAHWIN???


Hukum Akad Nikah Menerusi Sidang Video (Video Conference)

Keputusan: 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Akad Nikah Menerusi Sidang Video (Video Conference). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa para fuqaha’ bersepakat mensyaratkan bahawa bagi memastikan sesuatu akad nikah itu sah, ia hendaklah dilakukan dalam satu majlis (ittihad al-majlis) supaya semuanya terlibat secara langsung semasa pelaksanaan ijab dan qabul.
Sehubungan itu, memandangkan akad nikah menerusi sidang video telah memenuhi syarat Ittihad al-Majlis kerana ia dikelaskan sebagai Ittihad al-Majazi, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa adalah harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat-syarat seperti yang berikut:

  1. Hendaklah majlis ini berlangsung ditahap al-yakin bukan al-zhan.
  2. Tidak ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.
  3. Cukup semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukum syarak.
  4. Digalakkan wali sendiri yang mengakad-nikahkan pasangan.
  5. Terdapat halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan kerana berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan sebagainya.
  6. Tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.

INAI CANTIK??..


Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1.       Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

2.       Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

3.       Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

ALKOHOL


Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan

Keputusan: 
Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambilkira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

  1. Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
     
  2. Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
     
  3. Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
     
  4. Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
     
  5. Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh ) dimakan/diminum.
  6. Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dankuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
     
  7. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.
           

FATWA??..

Apa Itu Fatwa?

Definisi Fatwa
Pada bahasa ia diambil daripada afta-ifta'an yang memberi maksud menjelas dan menghuraikan hukum permasalahan.

Dari Segi Istilah
Pada istilahnya pula, fatwa mempunyai pelbagai definisi antaranya:

  1. Fatwa adalah sebagai jawapan yang dibuat oleh mufti pada perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya.
  2. Fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah SWT sama ada pada yang mesti atau harus.

Peruntukan Mengenai Fatwa Dalam Undang-Undang
Di dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], peruntukan mengenai fatwa dijelaskan di bawah Seksyen 34 iaitu:

  1. Maksud Fatwa iaitu pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang  menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubung dengan Hukum Syarak;
  2. Mengenai bila sesuatu fatwa itu boleh dibuat, iaitu apabila diperintahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, atau atas permintaan orang ramai melalui surat yang dihantar kepada Mufti, atau dibuat atas kehendak Mufti itu sendiri;
  3. Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh Mufti hanya boleh diambil sebagai fatwa jika pernyataan itu disiarkan dalam warta berhubung dengan Hukum Syarak;
  4. Sesuatu fatwa yang telah disiarkan dalam warta hendaklah dipatuhi oleh semua umat Islam yang berada di negeri itu, kecuali amalan peribadi yang dibenarkan mengikut Hukum Syarak; dan
  5. Fatwa yang diwartakan merupakan sebahagian daripada undang-undang yang perlu diikuti oleh semua Mahkamah Syariah bagi negeri itu.